Sunday, June 20, 2010

PROGRAM AYAHKU SAYANG


Sempena sambutan Hari Bapa dan Penghayatan Bulan Rejab, pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Dusun menganjurkan Program Ayahku Sayang.Program ini akan dikendalikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Ahmad Sobri bin Hj.Yahya seorang guru dari MRSM Pengkalan Hulu, Perak. Semua bapa/waris lelaki pelajar dijemput hadir. Maklumat program seperti berikut:

Tarikh: 20 Jun 2010
Masa: 8.30 malam
Tempat: Dewan An Nuur, SK Seri Dusun
Penceramah: Ustaz Ahmad Sobri bin Hj.Yahaya

Thursday, June 3, 2010

TAHNIAH CIKGU MAT DESA


TAHNIAH CIKGU

Warga SK Seri Dusun mengucapkan tahniah kepada Cikgu Mat Desa bin Ibrahim yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama Universiti Terbuka Malaysia dalam bidang Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah)Sains dengan Kepujian. Selamat berkonvo pada 20 Mei 2010 di PWTC Kuala Lumpur.

TAHNIAH CIKGU.

Tuesday, June 1, 2010

JKR 572 DAN JKR 573 TINGGAL KENANGAN





Bangunan rumah guru JKR 572 dan JKR 573 yang dibina pada penghujung tahun 1959 tinggal kenangan apabila kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut selesai dilaksanakan pada 1 Jun 2010. Bangunan tersebut telah uzur dan tidak selamat untuk digunakan lagi. Pihak pengurusan sekolah telah memohon kepada JKR untuk membuat pelupusan. JKR telah meluluskan pelupusan bangunan tersebut mengikut surat JKR Bil(1)dlm.B(P)/02/2010 bertarikh 4 Mei 2010.
JKR 572 dan JKR 573 banyak meninggalkan kenangan manis kepada Tn.Hj.Abdullah bin Md.Isa dan En.Izhar b.Ishak yang pernah mendiami rumah tersebut dalam jangka waktu yang agak lama. Kenangan manis tetap terpahat dan menjadi memori indah kepada keluarga mereka. Walaupun bangunan telah dirobohkan tetapi sepohon kelapa hasil titik peluh Cikgu Abdullah masih subur menghijau sebagai memori indah di JKR 571 dan 573.
Pihak sekolah akan menanam pokok getah di bekas tapak bangunan tersebut untuk melengkapkan Steysen Pembelajaran Agroeco Seri Dusun. Peluasan tapak stesyen tersebut mampu memuatkan 460 pokok getah dan sekaligus tanah yang selama ini terbiar dapat dibangunkan sebagai stesyen pembelajaran luar kelas dan projek ekonomi jangka panjang.

Friday, May 28, 2010

INFO TERKINI

Beberapa maklumat penting perlu diketahui oleh semua warga SK Seri Dusun

1. 31/5 hingga 3 Jun 2010 Peperiksaan Pertengahan Tahun

2. 4 Jun 2010 Lawatan pelajar ke Pulau Pinang

3. 4 hingga 19 Jun 2010 Cuti Pertengahan Tahun 2010

4. 6 hingga 9 Jun 2010 Kelas Intensif UPSR

5. 10 Jun 2010 Bengkel menghadapi peperiksaan untuk pelajar Tahun 6

6. 21 Jun 2010 Program Ayahku Sayang

Wednesday, May 12, 2010

UCAPAN KREATIF HARI GURU



Pelajar-pelajar SK Seri Dusun dijemput membuat ucapan kreatif kepada guru-guru SK Seri Dusun secara menulis di ruangan "comments" di bawah. Ucapan kreatif anda berpeluang menerima "hadiah misteri". Peluang ini terbuka kepada murid-murid SK Seri Dusun sahaja. Pastikan nama penuh dan nama kelas dimasukkan.

SELAMAT HARI GURU

Saturday, May 8, 2010

JOHAN BUKU SKRAP DAERAH BALING SIK

HARI PUTERI ISLAM (PERGERAKAN PUTERI ISLAM MALAYSIA)
PERINGKAT DAERAH BALING SIK 2010






Sambutan Hari Puteri Peringkat Daerah Baling Sik telah diadakan pada 8 Mei 2010 bertempat di Sekolah Menengah Tunku Putera.Pelbagai pertandingan telah diadakan sempena hari tersebut.Sekolah-sekolah dalam Daerah Baling Sik telah menyertai pertandingan tersebut.Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Tn.Hj.Abd.Rashid bin Md.Yosof iaitu Pegawai Pelajaran Daerah Baling Sik.Pertandingan yang dijalankan ialah;

1. Pertandingan Buku Skrap
2. Penulisan Kreatif
3. Membuat Buku Log
4. Gubahan Sireh Junjung
5. Bercerita
6. Hafazan

Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Dusun turut serta menyertai beberapa acara dan telah berjaya dalam beberapa acara yang dipertandingkan iaitu;

1. Johan bagi Pertandingan Buku Skrap. Peserta SKSD ialah adik Nurul Farhah Izzatie bt.Azlin dan adik Ummi Nadzirah bt.Hasbullah.

2. Naib Johan pertandingan Penulisan Kreatif. Peserta SKSD ialah adik Nurul Syafiyah bt. Kamarulzaman

3. Naib Johan Pertandingan Buku Log. Peserta SKSD ialah adik Nur Asmaa' bt.Rohani dan adik Aida Nazira bt. Ahmad.

Tahniah kepada peserta-peserta yang berjaya dan juga kepada guru-guru pembimbing iaitu Pn.Rosni bt.Khalib, Pn.Aziyatun bt.Arif,Pn.Rahmah bt.Hasan, Pn.Siti Basirah bt.Abdullah dan Pn.Rohani Razak. Pertandingan anjuran Puteri Islam berjaya mencungkil kreativiti dan bakat pelajar dalam pelbagai bidang. Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar.

Sunday, May 2, 2010

SELAMAT HARI GURU 2010

Selamat Hari Guru
Hyatilah puisi penuh bermakna oleh Usman Awang



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

SELAMAT HARI GURU 2010

SELAMAT HARI GURU
Tema Hari Guru 2010: "Guru Pembina Negara Bangsa"


Pada tanggal 16 Mei merupakan hari keramat bagi kaum guru kerana ia merupakan Hari Guru yang rayakan setiap tahun oleh warga guru dan masyarakat Malaysia. Pada tahun ini Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Kuantan,Pahang Darul Makmur iatitu bertempat di Universiti Malaysia Pahang. UMP akan menjadi lokasi pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 dengan kesinambungan tema perayaan "Guru Pembina Negara Bangsa".

Sehubungan dengan sambutan itu juga semua sekolah seluruh negara diminta mengadakan aktiviti-aktiviti berikut di peringkat sekolah.

1. Gotong-Royong Perdana di sekolah masing-masing pada 15 Mei 2010.
2. Sembahyang Hajat dan Bacaan Yasin pada malam 13 April 2010.
3. Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah secara serentak pada 16 Mei.

Sempena Perayaan Hari Guru pada tahun 2010, Guru-guru Sekolah Kebangsaan Seri Dusun telah menyusun pelbagai aktiviti bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut.Untuk merealisasikan tema Hari Guru 2010 iaitu "Guru Pembina Negara Bangsa", aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan adalah berfokus kepada menyemai sifat positif di kalangan pelajar, menguatkan jati diri, semangat patrotisme yang tinggi di samping memantapkan budaya kerja berpasukan di kalangan guru-guru.Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan ialah:

1. Gotong royong di kawasan sekolah dan "Stesyen Pembelajaran Agroecon"
2. Pertandingan Penulisan Kreatif
3. Sukaneka Guru Murid
4. Solat Hajat dan Bacaan Yaasin

Sambutan Hari Guru 2010 diharap bakal mencetus pelbagai idea baru di samping memupuk budaya cemerlang dan setiakawan di kalangan pelajar. Selamat Hari Guru 2010.

Tuesday, April 27, 2010

PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH -AGROECO SERI DUSUN





Tunjukcara memangkas pokok

PROGRAM PEMBELAJARAN LUAR BILIK DARJAH
(Stesyen Pembelajaran Agroeco Seri Dusun)

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memfokuskan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek memerlukan komitmen tinggi dari pihak sekolah dan ibu bapa untuk merealisasikannya. Pelbagai pendekatan perlu dilakukan bagi menjana generasi yang kreatif dan mempunyai jati diri yang tinggi ke arah pembangunan potensi diri dan negara.

Sekolah Kebangsaan Seri Dusun yang memilikki guru-guru, staf sokongan dan PIBG yang aktif dan sentiasa memikirkan idea-idea positif telah berjaya membangunkan kawasan tanah terbiar seluas 0.5 ekar dengan menanam pokok getah dan serai wangi. Persatuan Ibu Bapa dan Guru menjadi tenaga penggerak utama untuk menjayakan program ini. PIBG menyumbangkan kewangan dan tenaga melalui aktiviti gotong royong membersih, menanam dan membuat penjagaan Stesyen Pembelajaran Agroeco tersebut. Tn.Hj.Abdullah bin Md.Isa adalah orang yang diberi tanggung jawab sebagai pengurus stesyan tersebut.

Stesyen Pembelajaran Agroeco Seri Dusun telah ditanam dengan pokok getah Klon KT 314 sebanyak 460 pokok manakala serai wangi juga telah berjaya di tanam sebanyak 100 rumpun. Pihak sekolah amat bertuah kerana mendapat sumbangan benih serai wangi dari Ladang KEDA Daerah Sik. En Osman bin Hashim selaku Pengurus Ladang KEDA selalu memberi khidmat nasihat untuk kejayaan Stesyen Agroeco tersebut.

Stesyen Pembelajaran Agroeco Seri Dusun sangat membantu guru-guru dan pelajar untuk mepelbagaikan aktiviti pembelajaran di samping meningkatkan kemahiran dalam bidang tanaman. Pelajar-pelajar didedahkan secara terus kaedah menanam dan penjagaan pokok dan ia bersesuaian dengan mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pendidikan Alam Sekitar.Stesyen tersebut juga mampu menyediakan ruang alternatif untuk kegiatan ko kurikulum pelajar.

Pelajar-pelajar yang terlibat dalam Progrem Pembelajaran Luar Bilik Darjah di Stesyen Pembelajaran Agroeco Seri Dusun adalah terdiri dari pelajar Tahun 5 dan 6. Mereka menunjukkan minat yang sangat tinggi dan begitu teruja dengan pengalaman baru yang didedahkan kepada mereka. Aktiviti-aktiviti di Agoeco Seri Dusun banyak membuka minda pelajar ke arah mencintaiai alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan ekonomi pertanian.

Kerjasama erat Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan pihak sekolah diharapkan berterusan dan berkekalan kerana Stesyen Pembelajaran Agroeco Seri Dusun bukan sahaja sebagai wadah alternatif pembelajaran malah ia juga akan menjana sumber ekonomi kepada PIBG apabila pokok getah boleh ditoreh kelak. Harga getah yang memberansangkan dipasaran semasa menjadi pembakar semangat PIBG, guru-guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Dusun untuk menjayakan program ini.



Pelajar-pelajar didedahkan kemahiran membaja pokok

Tuesday, April 6, 2010

Kem Jatidiri dan Pemantapan Minda







Kem Jatidiri dan Pemantapan Minda bersama PAK LANG (Tn.Hj.Yahya bin Mehat)

Tarikh: 7 April 2010
Masa: 8 pagi hingga 5 petang
Tempat: Dewan Bitara dan Dinemik Seri Dusun
Pengisian Program:
1. Ice btraking
2. Merancang Strategi
3. Super Azam / Plan Tindakan
4. Tugasan SWOT
5. Pembentangan Aktiviti
6. Belaian Kasih Anak Ibu Ayah
Sasaran: Pelajar Tahun 6 dan waris pelajar

Thursday, April 1, 2010

PROGRAM IBUKU SAYANG







Program Ibuku Sayang bersama Ustazah Faridah bte.Ahmad - Pegawai Penyelidek dari Pejabat Mufti Negeri Kedah.

Tuesday, March 30, 2010

PENGUMUMAN PENTING

1. Tahlil perdana untuk arwah Cikgu Ahmad Maliki b. Ab.Rahman
Tarikh: 30 Mac 2010
Masa : 7.45 malam
Tempat: Dewan An Nuur
Semua waris dijemput hadir

2. Program Ibuku Sayang
Tarikh: 31 Mac 2010
Masa : 3 petang
Tempat: Dewan An Nuur
Semua waris perempuan dijemput hadir

3. Kem Jatidiri dan Pemantapan Minda bersama PAK LANG
Tarikh: 7 April 2010
Masa: 8 pagi hingga 5 petang
Semua pelajar tahun 6 terlibat.Waris tahun 6 terlibat mulai jam 3 petang


4. Kem Bestari Sholat
Tarikh: 8 April 2010
Masa: 1.00 hingga 5.00 petang

Monday, March 29, 2010

AL FATIHAH

Cikgu Ahmad Maliki bin Abd.Rahman 7.10.1960 - 29.03.2010 - Penolong Kanan Ko Kurikulum
Telah kembali ke rahmatullah pada 29.03.2010 jam 7.50 malam akibat serangan jantung. Didoakan moga rohnya akan dicucuru rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang-orang beriman dan di rahmati ALLAH. Amin ya rabalalamin.

Saturday, March 6, 2010

CERAMAH MAULIDURRASUL

Ceramah Maulidurrasul oleh Us.Abdullah Khairi bin Hj.Haroon
Tarikh: 7 Mac 2010
Jam: 9 Malam
Tempat: Dewan An Nuur
Semua waris pelajar SK Seri Dusun dijemput hadir

Sunday, February 21, 2010

8 TIPS BINA KEYAKINAN DIRI

TIPS BINA KEYAKINAN DIRI

1. Katakan anda BOLEH!
Kata-kata positif akan membakar semangat anda untuk terus berusaha dan membina keyakinan untuk berjaya.



2. Jangan memandang rendah keupayaan diri
Setiap insan mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri yang harus dibanggakan. Jangan biarkan diri anda dibelengggu dengan pandangan negatif terhadap diri sendiri.

3. Kaji dan perbaiki kelemahan diri
Kekurangan diri bukan halangan kepada keyakinan diri. Kaji dan perbaiki kelemahan yang ada kerana itu lebih baik daripada memikirkannya dan berdiam diri.

4. Malu biar kena pada tempatnya
Sifat malu harus dipamerkan bila kena pada tempat dan masanya. Jangan biarkan perasaan malu yang tidak ketentuan menyekat diri anda untuk merasa lebih yakin.

5. Sentiasa berfikiran positif
Fikiran positif akan memberi ransangan kepada diri untuk berasa yakin dan membentuk diri untuk berani berhadapan dengan sebarang cabaran.

6. Sentiasa bersedia dan tidak menangguhkan kerja
Keyakinan diri dapat dibentuk dengan lebih mudah jika anda sentiasa bersedia dan dapat menyiapkan tugas yang diberi tanpa menangguhkannya.

7. Badan sihat, minda cerdas
Kesihatan yang baik dan sihat membolehkan anda untuk cergas dan cerdas serta membina keyakinan diri.

8. Hargai diri
Penghargaan kepada diri sendiri dapat membentuk perasaan bersyukur dengan anugerah Tuhan serta membentuk keyakinan diri.

TERIMA KASIH CIKGU IZHAR

Cikgu Izhar mencurah bakti di SK Seri Dusun mulai 1 Disember 1990 hingga 15 Februari 2010


Wajah ceria pada 1990

Wajah beraura pada 2010

Warga SK Seri Dusun merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Cikgu Izhar yang telah mencurah bakti begitu dedikasi dan gemilang sepanjang perkhidmatan di sekolah ini. Selama tempoh 20 tahun banyak bakti telah dicurah dan pelbagai sumbangan telah dibuat bagi memacu SK Seri Dusun ke puncak kejayaan.Beliau begitu disenangi oleh semua pihak dan berjaya mengekalkan prestasi kerja secara konsisten dan sistematik. Mulai 16 Februari 2010 Cikgu Izhar ditukarkan ke SK Batu 8 sebagai Guru Penolong memangku PK Ko Kurikulum setelah beliau berjaya menyempurnakan tugas sebagai "care taker" di sekolah tersebut.
Tehniah Cikgu Izhar..Terima Kasih dan Selamat Maju Jaya.

Daripada warga SK Seri Dusun

Sunday, January 31, 2010

ALHAMDULILAH DAN TAHNIAH


Tahniah kepada Cikgu Mat Desa bin Ibrahim yang telah di kurniakan Pingat BKM sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah pada tahun 2010. Teruskan komitmen dan bakti cikgu tanpa mengenal erti JEMU.


Tahniah kepada Pn.Siti Mariam bt. Yusuf yang telah dinaikkanpangkat sebagai Ketua Pembantu Tadbir N22 di SMK Seri Enggang. Teruskan khidmat cemerlang anda.

Wednesday, January 20, 2010

11 PESANAN UNTUK ANAK




TIPS RINGKAS MENJANA GENERASI CEMERLANG

Anak-anak hendaklah dididik dengan memberi pesanan dan arahan dengan jelas. Perhatikan bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika pesanan tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Ibubapa MESTI menjadikan pesanan dan arahan kepada anak-anak sebagai rutin dalam kehidupan.

11 Pesanan ringkas untuk anak-anak:

1. Menunaikan solat di awal waktu
2. Beradab dengan orang tua-tua
3. Beradab dengan guru
4. Beradab dengan kawan-kawan
5. Menyempurnakan tugas harian di rumah
6. Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
7. Beradab ketika makan mengikut sunnah nabi
8. Mematuhi cara belajar yang berkesan
9. Mematuhi adab berpakaian dan menutup aurat apabila keluar dari rumah
10.Menjaga keselamatan jalan raya dan luar rumah
11 Tanggungjawab menghormati dan melindungi adik-adik dan keluarga

Wednesday, January 6, 2010

MESYUARAT AGUNG PIBG KE 29


Datuk Syeikh Ghazali bin Yaacob

Semua ibu bapa atau waris pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Dusun dijemput hadir ke Mesyuarat Agung PIBG SKSD kali ke 29 pada:

Tarikh: 10 Januari 2009
Hari: Ahad
Masa: 2.30 petang
Tempat: Dewan An Nuur SKSD
Perasmian oleh: Yang Berbahagia Datuk Syeikh Ghazali bin Yaacob
Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah

Fokus Mesyuarat PIBG 2010

1. Perlantinkkan AJK PIBG sesi 2010 - 2011
2. Tips keibubapaan
3. Program PIBG 2010-2011
4. Pakej Mutiara Iman
5. Halatuju PIBG dalam Era Globalisasi