Sunday, February 21, 2010

8 TIPS BINA KEYAKINAN DIRI

TIPS BINA KEYAKINAN DIRI

1. Katakan anda BOLEH!
Kata-kata positif akan membakar semangat anda untuk terus berusaha dan membina keyakinan untuk berjaya.



2. Jangan memandang rendah keupayaan diri
Setiap insan mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri yang harus dibanggakan. Jangan biarkan diri anda dibelengggu dengan pandangan negatif terhadap diri sendiri.

3. Kaji dan perbaiki kelemahan diri
Kekurangan diri bukan halangan kepada keyakinan diri. Kaji dan perbaiki kelemahan yang ada kerana itu lebih baik daripada memikirkannya dan berdiam diri.

4. Malu biar kena pada tempatnya
Sifat malu harus dipamerkan bila kena pada tempat dan masanya. Jangan biarkan perasaan malu yang tidak ketentuan menyekat diri anda untuk merasa lebih yakin.

5. Sentiasa berfikiran positif
Fikiran positif akan memberi ransangan kepada diri untuk berasa yakin dan membentuk diri untuk berani berhadapan dengan sebarang cabaran.

6. Sentiasa bersedia dan tidak menangguhkan kerja
Keyakinan diri dapat dibentuk dengan lebih mudah jika anda sentiasa bersedia dan dapat menyiapkan tugas yang diberi tanpa menangguhkannya.

7. Badan sihat, minda cerdas
Kesihatan yang baik dan sihat membolehkan anda untuk cergas dan cerdas serta membina keyakinan diri.

8. Hargai diri
Penghargaan kepada diri sendiri dapat membentuk perasaan bersyukur dengan anugerah Tuhan serta membentuk keyakinan diri.

TERIMA KASIH CIKGU IZHAR

Cikgu Izhar mencurah bakti di SK Seri Dusun mulai 1 Disember 1990 hingga 15 Februari 2010


Wajah ceria pada 1990

Wajah beraura pada 2010

Warga SK Seri Dusun merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Cikgu Izhar yang telah mencurah bakti begitu dedikasi dan gemilang sepanjang perkhidmatan di sekolah ini. Selama tempoh 20 tahun banyak bakti telah dicurah dan pelbagai sumbangan telah dibuat bagi memacu SK Seri Dusun ke puncak kejayaan.Beliau begitu disenangi oleh semua pihak dan berjaya mengekalkan prestasi kerja secara konsisten dan sistematik. Mulai 16 Februari 2010 Cikgu Izhar ditukarkan ke SK Batu 8 sebagai Guru Penolong memangku PK Ko Kurikulum setelah beliau berjaya menyempurnakan tugas sebagai "care taker" di sekolah tersebut.
Tehniah Cikgu Izhar..Terima Kasih dan Selamat Maju Jaya.

Daripada warga SK Seri Dusun

Sunday, January 31, 2010

ALHAMDULILAH DAN TAHNIAH


Tahniah kepada Cikgu Mat Desa bin Ibrahim yang telah di kurniakan Pingat BKM sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah pada tahun 2010. Teruskan komitmen dan bakti cikgu tanpa mengenal erti JEMU.


Tahniah kepada Pn.Siti Mariam bt. Yusuf yang telah dinaikkanpangkat sebagai Ketua Pembantu Tadbir N22 di SMK Seri Enggang. Teruskan khidmat cemerlang anda.

Wednesday, January 20, 2010

11 PESANAN UNTUK ANAK




TIPS RINGKAS MENJANA GENERASI CEMERLANG

Anak-anak hendaklah dididik dengan memberi pesanan dan arahan dengan jelas. Perhatikan bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika pesanan tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Ibubapa MESTI menjadikan pesanan dan arahan kepada anak-anak sebagai rutin dalam kehidupan.

11 Pesanan ringkas untuk anak-anak:

1. Menunaikan solat di awal waktu
2. Beradab dengan orang tua-tua
3. Beradab dengan guru
4. Beradab dengan kawan-kawan
5. Menyempurnakan tugas harian di rumah
6. Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
7. Beradab ketika makan mengikut sunnah nabi
8. Mematuhi cara belajar yang berkesan
9. Mematuhi adab berpakaian dan menutup aurat apabila keluar dari rumah
10.Menjaga keselamatan jalan raya dan luar rumah
11 Tanggungjawab menghormati dan melindungi adik-adik dan keluarga

Wednesday, January 6, 2010

MESYUARAT AGUNG PIBG KE 29


Datuk Syeikh Ghazali bin Yaacob

Semua ibu bapa atau waris pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Dusun dijemput hadir ke Mesyuarat Agung PIBG SKSD kali ke 29 pada:

Tarikh: 10 Januari 2009
Hari: Ahad
Masa: 2.30 petang
Tempat: Dewan An Nuur SKSD
Perasmian oleh: Yang Berbahagia Datuk Syeikh Ghazali bin Yaacob
Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah

Fokus Mesyuarat PIBG 2010

1. Perlantinkkan AJK PIBG sesi 2010 - 2011
2. Tips keibubapaan
3. Program PIBG 2010-2011
4. Pakej Mutiara Iman
5. Halatuju PIBG dalam Era Globalisasi

Tuesday, December 29, 2009

TIPS PERSEDIAAN DI GERBANG PERSEKOLAHAN ANAK

Panduan Ibubapa Memotivasi Anak Di Awal Persekolhan

* Latih anak-anak supaya bertanggungjawab terhadap barang-barang sendiri seperti beg sekolah, buku teks, alat tulis, buku tulis.

* Beri peluang anak jalin hubungan baik dengan rakan sebaya untuk memupuk kemahiran bergaul dan berkomunikasi di sekolah.

* Gunakan bahasa yang sempurna di rumah kerana penguasaan sesuatu bahasa dengan baik dapat membantu meningkatkan kefahaman anak di sekolah.

* Asuh anak tentang kemahiran berpakaian khususnya apabila menukar pakaian untuk pendidikan jasmani serta cara melipat dan menyimpan pakaian di tempat selamat.

* Latih anak menggunakan tandas secara betul seperti amalan beristinjak, menanggalkan pakaian dan memakai semula serta amalan mencuci tangan selepas ke tandas.

* Minta anak-anak hafal beberapa nombor telefon seperti rumah, pejabat atau telefon bimbit.

* Terangkan keadaan bagaimana mereka boleh menghubungi ibu bapa seperti sakit perut, demam, tertinggal bas, waktu persekolahan tamat lebih awal dan sebagainya.

* Latih anak-anak menyampaikan pesanan yang betul dalam bentuk lisan atau bertulis agar apa yang dipesan guru kepada ibu bapa dapat diingat dengan betul.

* Terangkan keadaan bila dan bagaimana untuk meminta bantuan guru atau orang dewasa seperti terjatuh, terluka, dipukul murid dan sebagainya.

* Perkenalkan anak dengan nilai wang dan banyak mana yang patut diberi apabila membeli makanan di kantin sekolah.

* Latih anak mengawasi waktu bila seharusnya mereka patut bangun tidur,
mandi, sembahyang, gosok gigi, dan berpakaian untuk ke sekolah

* Ajar anak anda cara membaca jadual waktu sekolah.

Sunday, December 27, 2009

PERUTUSAN TAHUN BARU -KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.

Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.

Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.

Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.

Para guru dan murid-murid sekalian,

Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.

Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Para guru dan murid sekalian,

Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.

Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.


Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.


Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431